Rabu, 18 Januari 2012

Cara-cara Ombak Menghakis dan Perbezaannya dengan Cara Sungai Menghakis.

Secara umumnya, cara hakisan oleh ombak dan sungai bolehlah dikatakan serupa. Walau bagaimanapun terdapat juga perbezaannya. Di antara cara ombak menghakis ialah:

1. Secara Hidrol:

Rempuhan oleh ombak kepada batuan yang ada di tepi pantai menyebabkan batuan tadi dikenakan satu tenaga yang kuat. Lama-kelamaan batuan berkenaan boleh lemah dan akhirnya terhakis.

Sesetengah batuan mempunyai retakan dan rekahan, apabila ombak melanda, udara di celah rekahan dan retakan tadi dimampatkan, dan mengenakan tekanan yang tinggi terhadao dinding retakan dan rekahan, akhirnya retakan dan rekahan menjadi semakin besar dan batuan boleh memecah.

Berbeza dengan tindakan hidrol oleh sungai, ombak melakukan tindakan ini secara berulang-ulang bergantung kepada jumlah rempuhan ombak dalam seminit terhadap batuan di pantai. Tetapi tindakan hidrol oleh sungai pula berlaku berterusan dan tidak berhenti-henti selagi ada arus yang mengalir dari sungai tadi.

2. Secara Lelasan/Kikisan

Seperti juga sungai, hakisan lelasan oleh ombak juga bergantung kepada bahan-bahan angkutan ombak tadi. Semasa bahan ini digerakkan oleh ombak, ianya mempu menghakis batuan yang ada di pinggir pantai.

Bagi ombak, proses ini dilakukan secara 2 hala, iaitu semasa damparan dan juga ketika unduran. Berbeza dengan hakisan lelasan oleh sungai, prosesnya hanya berlaku sehala sahaja, iaitu semasa air mengalir dari daratan ke lautan.

3. Secara Lagaan

Proses lagaan oleh ombak membolehkan bahan-bahan yang dibawanya berlaga di antara satu sama lain. Akibatnya, bahan tersebut memecah dan menjadi saiz yang lebih kecil dan halus. Melalui proses ini jugalah, batuan yang berada di dasar laut berhampiran pantai biasanya mempunyai permukaan yang rata dan licin.

4. Secara Larutan

Bagi pantai yang terdiri daripada batu kapur, ombak boleh menghakis batuannya melalui proses larutan. Kemampuan air laut menghakis secara larutan adalah tinggi. Inilah yang menyebabkan air laut terasa masin. Ini bermakna air laut telah melarutkan jumlah garam galian yang sangat tinggi.

Bagi ombak, proses larutan ini dilakukan secara berulangan bergantung kepada bilangan ombak yang melanda kawasan batu kapur di pinggir laut tadi dan berlaku secara dua hala, berbanding dengan sungai, proses ini berlaku sehala sahaja.